Pelajar Kelantan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipelawa memohon wang ehsan, iaitu bantuan daripada kerajaan pusat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata bantuan itu merupakan sumbangan kerajaan pusat sebagai menghargai kecemerlangan mereka selain membantu dalam aspek kewangan.
"Kepada pelajar Kelantan yang cemerlang iaitu mendapat 8A ke atas dalam SPM dan belum menerima imbuhan wang ehsan, mereka boleh mendaftarkan diri kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan wang ehsan berjumlah RM100,000 kepada 173 pelajar cemerlang SPM, Asasi, Pra-Diploma dan Matrikulasi di sini hari ini.
Mustapa, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan berkata pemberian wang ehsan itu bukan sahaja melibatkan pelajar cemerlang malah turut diberikan kepada anak Kelantan yang dapat melanjutkan pengajian mereka ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
"Wang ehsan turut diberikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan ke IPTA tanpa mengira kelulusan mereka dan mereka boleh tunjukkan surat tawaran ke IPTA kepada JKKK sebagai bukti," katanya.
Wang ehsan merupakan pemberian kerajaan pusat sebagai bayaran royalti minyak sebanyak lima peratus kepada Kelantan dan pada tahun lepas pusat telah menyerahkan wang ehsan sebanyak RM25 juta kepada penduduk Kelantan.
- Jeli, 17 Mei 2011

0 comments:
Post a Comment